Selasa, 16 November 2010

KISAH CANDA KUMARA

Pada zaman silam, di Pupphavatia, ada seorang raja bernama Ekaraja dan puteranya bernama Canda Kumara. Sami bagi keluarga ini ialah seorang Brahmin bernama Khandahala. Dia sangat dihormati oleh raja. Suatu hari raja melantiknya menjadi hakim. Tetapi dia tidak amanah dan banyak menerima rasuah. Pada suatu hari seseorang telah kalah dalam perbicaraannya, walaupun setelah dia memberi rasuah kepada Khandahala. Ketika dia sedang berjalan keluar daripada mahkamah, dia bertemu Putera Canda dan merayu agar putera itu menolongnya.
Putera Canda membawa orang itu kembali ke dalam mahkamah. Kali ini orang itu menang dan mendapat balik semua hartanya. Orang ramai sangat gembira dengan keputusan itu. Mereka bersorak dan bertepuk tangan. Apabila berita ini sampai ke pengetahuan raja, baginda melantik Putera Canda menjadi hakim. Sementara itu Khandahala menjadi semakin miskin kerana tidak lagi dapat menerima rasuah. Dia mula membenci Putera Canda.
Raja Ekaraja bukanlah seorang yang bijak. Pada awal suatu pagi, ketika bangun dari peraduannya, baginda ternampak Syurga Tiga Puluh Tiga Dewa-Dewa dengan segala kegemilangannya. Baginda ingin benar hendak ke sana. "Beta mesti bertanya kepada Khandahala bagaimana hendak ke sana." Inilah peluang yang Khandahala nanti-nantikan. Dia menyembah kepada raja, "Tuanku mestilah memberi banyak hadiah dan membunuh yang tidak patut dibunuh."
Raja bertanya Khandahala apa yang dimaksudkannya. Jawab Brahmin itu, "Tuanku, Tuanku mestilah mengorbankan empat putera, empat permaisuri, empat saudagar yang kaya, empat ekor lembu jantan dan empat ekor kuda." Khandahala berfikir, "Kalau saya mengambil Canda Kumara seorang sahaja, semua orang akan tahu saya membencinya." Oleh itu Khandahala menempatkan Putera Canda bersama-sama dengan orang-orang lain dan binatang-binatang untuk dibunuh.
Khandahala menyuruh raja megumpulkan semua orang dan binatang itu untuk dikorbankan. Sebuah lubang besar digali untuk upacara ini. Apabila orang ramai mendengar tentang pengorbanan yang dahsyat ini, mereka menjadi takut. Tetapi raja mempercayai kata-kata Brahmin yang jahat itu. Baginda bertitah, "Dengan mengorbankan anak-anak dan isteri beta, beta akan dapat pergi ke syurga dewa-dewa."
Raja menitahkan askar-askar membawa Putera Canda. Apabila putera itu diberitahu semuanya adalah rancangan jahat Khandahala, dia pun tahulah pengkhianat itu sebenarnya hendak membunuhnya seorang sahaja. Semua orang yang hendak dikorbankan telah pun dibawa ke tempat yang disediakan. Orang ramai merayu agar raja tidak membunuh mereka, tetapi raja enggan mendengar segala nasihat. Bonda raja merayu;
"Mengorbankan putera-puteramu tidak akan membawamu menikmati kebahagiaan di syurga; Usahlah mendengar tipu helah; inilah sebenarnya jalan ke neraka."
Ayahanda raja juga meminta raja supaya jangan melakukan pengorbanan itu, tetapi raja tidak mendengarnya.
Kemudian Putera Canda merayu kepada ayahandanya:
"Biarlah kami menjadi hamba Khandahala, tapi janganlah ambil nyawa kami, Dalam keadaan berantai, kami akan menjaga kuda-kuda dan gajah-gajahnya, jika itu yang diingini."
"Biarlah kami menjadi hamba Khandahala, tapi janganlah mengambil nyawa kami, dalam keadaan berantai kami akan bersihkan kandang-kandang kudanya, atau perkarangan rumahnya, jika itu yang dikehendaki."
"Serahlah kami untuk menjadi hamba Khandahala atau pun ke tangan sesiapa malah, atau biarkan kami membawa diri ke mana saja meminta sedekah."
Apabila mendengar rayuan puteranya, raja sungguh sedih hati dan dengan air mata yang bercucuran, baginda berkata, "Tiada siapapun yang akan membunuh.putera-putera beta, beta tidak perlu pergi ke syurga dewa-dewa!" Dan baginda pun bertitah supaya mereka dibebaskan.
Waktu itu, Khandahala yang sedang menggali lubang untuk upacara korban itu mendengar raja hendak melepaskan kesemua tahanan itu. Dengan segera dia pergi mengadap raja dan berkata, "Patik sudah pun berkata kepada tuanku adalah amat sukar untuk membuat pengorbanan ini. Mengapakah tuanku berhenti bila kita baru saja mula?" Raja yang bodoh itu mendengar kata-kata Khandahala, sekali lagi menitahkan orang-orang membawa tahanan itu.
Putera Canda sekali lagi meminta raja supaya jangan jadi bodoh:
"Lihatlah burung-burung yang membina sarang-sarang dan menyanyi sepanjang hari,
Mereka sayangkan anak-anak mereka dan Tuanku, adakah Tuanku akan membunuh kami?
Adakah Tuanku fikir Brahmin kejam itu akan melepaskan nyawa tuanku selepas membunuh kami?
Giliranmu akan tiba, 0 Tuanku ! Bukan patik seorang yang akan mati. "
Sekali lagi raja bersedih dan membebaskan mereka semua. Tetapi Brahmin jahat itu berjaya memujuk baginda supaya meneruskan rancangannya. Kali ini, apabila Putera Canda merayu lagi, baginda tidak menghiraukannya. Putera Canda kemudiannya meminta tolong kepada orang-orang yang berada di situ, tetapi mereka takut hendak bersuara. Kemudian Putera Canda menyuruh isterinya merayu kepada raja dan Khandahala supaya jangan membunuh mereka. Raja tidak menghiraukan permintaan mereka.
Putera kepada Canda, Vasula, melihat penyeksaan yang dialami oleh ayahandanya. Dengan langkah yang lemah, Vasula pergi mengadap raja,
"0 bebaskanlah ayahanda saya. Janganlah biarkan saya yang masih kanak-kanak tinggal keseorangan."
Raja merasai seolah-olah jantungnya terbelah dua. Dengan air mata yang berlinangan, dia memeluk cucunya itu dan berkata, "Baiklah, cucunda, nenenda akan beri ayahandamu padamu." Khandahala sekali lagi memberi amaran pada Raja dan sekali lagi Raja menurutnya. Kali ini Khandahala membawa semua tahanan itu ke dalam lubang yang telah digalinya, supaya raja tidak boleh lagi menukar fikirannya.
Semua orang di Pupphavati menangis kerana terlalu sedih. Mereka hendak pergi melihat upacara korban itu, tetapi tidak dapat keluar kerana pintu pagar tidak cukup besar. Khandahala mengarahkan supaya semua pintu-pintu ditutup. Mereka dikurung di dalam kota itu dan menangis kesedihan. Bonda kepada Raja, Permaisuri Gotami, meminta raja membatalkan upacara itu tetapi tidak mendapat jawapan. Baginda kemudiannya menyuruh keempat-empat orang isteri Putera Canda membuat rayuan kepada Raja tetapi tidak juga berhasil. Permaisuri Gotami kemudiannya mula memaki hamun Khandahala.
Berkali-kali mangsa itu merayu supaya raja tidak membunuh mereka, namun raja tidak pedulikan permintaan mereka. Lubang yang digali sudahpun siap. Mereka membawa Putera Canda ke tempat yang disediakan di lubang itu. Khandahala memegang mangkuk emasnya dan mengambil sebilah pedang.
Sambil berdiri di situ dia berkata, "Saya akan memotong lehernya!" Apabila Permaisuri pertama Putera Canda, iaitu Permaisuri Canda, melihat apa yang sedang terjadi, dia mengangkat tangannya menyembah seraya berkata:
"Semoga segala roh-roh di tempat ini - hantu, syaitan dan pari- mendengar kata-kataku ini, Buatlah apa yang aku suruh, kembalikanlah Tuanku kepadaku ! "
"0 dewa-dewa dan dewi-dewi yang berada di sini, aku sujud di kakimu,
Lindungilah aku, dengarlah rayuanku yang tak terdaya ini !"
Raja Sakka, raja kepada segala dewa-dewa mendengar tangisan seta rayuan Permaisuri Canda. Raja Sakka juga nampak apa yang sedang berlaku. Baginda mengambil sebilah tukul besi panas yang merah menyala, mengugut Raja Ekaraja serta menyuraikan orang ramai yang sedang berkumpul di situ. Kemudian Raja Sakka menyuruh raja membebaskan semua tahanan dan menghukum Khandahala kerana kekejamannya.
Orang ramai membunuh Khandhala. Mereka juga hendak membunuh Raja Ekaraja tetapi dilarang oleh Raja Sakka. Sungguh pun mereka tidak membunuh raja itu, tetapi mereka berkata, "Kami tidak mahu dia memerintah atau tinggal di kota ini, kami akan menghalaunya, biar dia tinggal di luar kota." Selepas Ekaraja dibawa ke luar kota, mereka melantik Canda Kumara menjadi raja baru. Raja Canda memberi segala keperluan yang diperlukan oleh Ekaraja, tetapi dia tidak dibenarkan masuk ke kota itu lagi. Waktu Raja Canda keluar dari kota Ekaraja akan ikut bersamanya. Tetapi Ekaraja tidak mahu menggunakan tangannya untuk memberi hormat kepada Raja Canda kerana, fikirnya, dia masih menjadi raja di situ. Dia hanya berkata, "Lanjut usiamu, 0 Tuan !" Raja Canda memberi segala apa yang diminta oleh ayahandanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar